Kehidupan awal كهيدوڤن اول Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Tengku Ahmad Shah telah diputerakan pada jam 12:00 tengah hari, 24 Oktober 1930 iaitu pada zaman pemerintahan paduka nenda baginda, Sultan Abdullah al-Mu’tassim Billah Shah, Sultan Pahang III,[2] di Istana Mangga Tunggal di Pekan, Pahang. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Pekan dan kemudian di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Baginda turut belajar asas agama di Kuliah Al-lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar, Padang Polo, Pekan. Walau bagaimanapun, pembelajaran baginda terganggu ekoran Perang Dunia II. Sultan Haji Ahmad Shah turut mempelajari bahasa Jepun ketika pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Pada 1944, ketika berusia 14 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah dilantik menjadi Tengku Mahkota Pahang. Apabila peperangan tamat, baginda meneruskan pembelajaran baginda di Sekolah Clifford Kuala Lipis dan tinggal bersama orang kebanyakan di asrama sekolah. Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu.

Pada 1948, Sultan Haji Ahmad Shah meneruskan pelajaran dalam bidang Pentadbiran Awam di Worcester College, Oxford. Baginda turut masuk ke University College, Exeter, Devon bagi kursus Pentadbiran Tempatan. Ketika menduduki kursus tersebut, baginda menjalani latihan di Majlis Daerah Perbandaran di Sidmouth untuk tiga tahun.

Ketika berusia 35 tahun, Sultan Haji Ahmad Shah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Batalion Infantri Tentera Persekutuan yang berpengkalan di Kem Batu 5, Mentakab. Perkhidmatan baginda terhadap ketenteraan dan rakyat jelata membuatkan baginda dikagumi rakyat yang menyifatkan baginda putera rakyat yang amat prihatin.

Rujukan

WikiPedia: Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah http://www.saij.gob.ar/1256-nacional-condecoracion... http://www.worldwhoswho.com/views/entry.html?id=pa... http://www.kosmo.com.my/terkini/sultan-ahmad-shah-... http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ah... http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sultan-ha... http://www.pahang.gov.my/en/web/guest/kdymm-sultan... http://www.royalark.net/Malaysia/malay2.htm http://id.worldcat.org/fast/157280/ http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/... https://id.loc.gov/authorities/names/n85030795